Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

13 November 2009

Jangan Terperangkap Dengan Agenda Musuh

Seluruh petugas parti diingatkan agar jangan terperangkap dengan agenda musuh dengan menghabiskan masa dan tenaga kepada perkara yang remeh temeh dengan menimbulkan polimik sesama sendiri, sehingga mengabaikan tangungjawab kepada usaha memenangi pilihanraya ke 13.

Kita mesti ingat bahawa selepas PRU ke 12 dan beberapa PRK yang kita lalui menyebabkan UMNO/BN berada pada tahap yang sangat kritikal. Sokongan rakyat kepada PR menyebabkan mereka beralih kepada strategi baru iaitu menimbulkan pergolakan dalaman parti-parti dalam gabungan PR dan mencetuskan agenda perbezaan pandangan dalaman parti PR. Strategi ini ternyata berkesan sehingga tiba-tiba sahaja muncul pelbagai pandangan dalaman yang berbeza sehinga mencetuskan kegawatan dalaman berlaku pada semua parti dalam PR. Sedangkan isu sebenar ialah pergolakan dalaman BN.

Kaedah mengalih perhatian diguna sepenuhnya oleh media perdana dan media baru sehingga kini dilihat berjaya. Pengalihan pandangan dan pemerhatian ini menyebabkan seluruh pemerhatian tertumpu kepada soal krisis yang diciptakan menyebabkan terlalu banyak masa, tenaga dan fikiran tertumpu kepada perkara yang tidak sepatutnya dihabiskan.

Kita mesti kembali kepada landasan kerja persiapan menghadapi pilihanraya:

Berapa ramai pengundi baru yang kita sasarkan dapat dicapai,
Bagaimana persiapan bilik gerakan
Semakan daftar pemilih terkini
Semakan rang yang dibentangkan
Bantahan yang perlu dibuat
Cadangan persempadanan pilihanraya, jawatankuasa persempadanan pilihanraya
Permasalahan kewangan setiap dun, parlimen, dan UPU

Apa tindakan kita untuk memastikan segalanya berjalan dengan cukup lancar? Ini yang perlu diberi tumpuan. Jangan kita terperangkap dengan agenda musuh agar kita menghabiskan masa kepada perkara yang bukan menjadi tugas kita. Dengan kata lain jangan anda habis masa, tenaga dan wang ringgit memikirkan masalah yang sebenarnya bukan masalah.


Dulu ada satu kisah enam orang pelabur berbincang untuk menjalankan ternakan kambing, cadangan sangat baik. Tetapi bila sampai kepada bagaimana pembahagiaan keuntungan, suasana mula tegang. Masing-masing rasa dia sepatutnya mendapat lebih banyak berbanding yang lain. Keadaan makin tak terkawal sehinggalah seorang yang lebih banyak berdiam diri dalam mesyuarat sejak awal berkata:

“Kita nak bahagi keuntungan, tapi di mana kambingnya. Kambing pun tak ada lagi, dah bincang untung rugi”.

Barulah mereka sedar rupanya mereka bincang perkara yang tak ada. Menghabiskan masa, tenaga dan memeningkan kepala saja.

Sekarang kita perlu sedar sebelum terlewat. Jangan masuk perangkap musuh yang sengaja menimbulkan perpecahan di kalangan kita. Di mana ukhuwah jamaah, sehingga kita menyerang sahabat dalam satu jamaah lebih hebat dari kita meyerang ‘musuh’ kita sebenar. Apakah sudah hilang ukhuwah jamaah, sudah hilang rasa sayang pada saudara sesama jamaah, sehingga kita sanggup memberikan peluru kepada musuh untuk menyerang sahabat kita. Saya yakin tanpa kita sedar sebenarnya kita sedikit demi sedikit telah termasuk dalam perangkap musuh.

Tafsir Surah Al-Maidah Ayat 112 : Hidangan dari langit yang cetus fitnah

Mengikut satu riwayat Salman al Farisi r.a. (yang diambil dari Abu Othman an-Nahdi), Nabi Isa a,a menukar pakaiannya dengan jubah yang diambil daripada bulu binatang yang berwarna hitam (pakaian yang kasar pembuatannya) untuk menyatakan tawaduknya kepada Allah SWT.

Menurut riwayatnya Nabi Isa a.s berdiri bertentangan kaki dan bertentangan buku lali dengan buku lali, meletakkan tangan kanan di atas tangan kirinya dan meletakkan pula di dadanya.

Nabi Isa a.s menundukkan kepalanya dalam keadaan khusyuk, berhadap kepada Allah dan menangis dengan permintaan itu sehingga bercucuran air mata yang mengalir melalui celah-celah janggutnya dan air matanya menitis di atas bumi sambil berdoa kepada Allah.

Doanya bermaksud: " Ya Allah Ya Tuhan kami, turunkanlah kepada kami hidangan daripada langit, supaya menjadi suatu hari perayaan bagi orang yang awal di kalangan kami dan orang yang kemudian daripada kami dan menjadikannya sebagai tanda daripada-Mu, dan berilah rezeki kepada kami, dan Engkau adalah sebaik-baik pemberi rezeki."

Sebaik sahaja Nabi Isa a.a berdoa kepada Allah SWT kelihatan makanan turun di celah-celah awan. Mereka melihat hidangan itu turun dengan diletakkan di atas suprah (kain hamparan untuk hidangan) yang berwarna merah di bawah dan di atasnya serta dinaungi oleh awan di atas dan di bawahnya pula.

Nabi Isa a.s berkata yang bermaksud : "Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah ia sebagai rahmat dari-Mu dan janganlah Engkau jadikannya sebagai fitnah kepada kami. Wahai Tuhanku, aku memohon kepada-Mu, perkara yang menakjubkan dan Engkau telah mengurniakan kepada aku."

Hidangan itu turun dan diletakkan di hadapan Nabi Isa a.s., lalu baginda tersungkur sujud kepada Allah SWT, diikuti oleh hawariyyin yang juga sujud kepada Allah SWT.

Keluarlah daripada hidangan itu bauan yang sangat mengharumkan yang tidak pernah mereka menghidu bau itu sebelum daripadanya.

Lalu Nabi Isa a.s berkata yang bermaksud: " Siapa di kalangan kamu yang paling kuat beribadat kepada Allah dan yang paling berani meminta hidangan itu, sila buka hidangan ini."

Bagaimanapun mereka tidak berani berbuat demikian. Hawariyyun dalam keadaan ketakutan. Mereka berkata: Wahai Ruhullah (Nabi Allah), engkaulah yang lebih berhak untuk membukanya."

Lalu Nabi Isa a.s berwuduh semula (memperbaharui air sembahyang), baginda kemudiannya bersembahyang dengan sembahyang yang baru dan berdoa kepada Allah dengan doa yang banyak.

Kemudian baginda a.s membuka hidangan itu. Tiba-tiba dalam hidangan itu terdapat ikan yang dipanggang yang diletak sekali dengan roti dan sayur-sayuran serta buah-buahan termasuk delima, zaitun dan tamar kecuali Quros (sejenid daun yang berbau busuk).

Mengikut riwayat yang lain Sham'un bertanya : "Wahai Nabi Allah, adakah makanan ini dari makanan syurga atau dari mana?"

Nabi Isa a.s memarahinya. Nabi Isa a.s bertanya: "Adakah kamu mahu bertanya lahi setelah Allah menurunkan kepada kamu hidangan ini? Aku takut Allah menyeksa kamu nanti."

Sham'un berkata, "demi Tuhan Bani Israil, saya tidak berniat jahat Wahai Nabi Allah."

Sham'un adalah pemimpin kepada Hawariyyun, lalu Nabi Isa a.s berdoa. Tiba-tiba ikan hidup semula. Mereka melihat ikan itu bergerak dan menggelepar.

Kemudian Nabi Isa a.s berdoa semula, tiba-tiba ia bertukar menjadi ikan panggang semula dengan bauan yang sedap dan nikmat dalam keadaan tulang-tulangnya dibuang (tinggal isinya sahaja).

Lalu Nabi Isa a.s mengatakan bahawa hidangan itu bukan daripada syurga. Tetapi Allah Ta'ala menjadikan hidangan itu dengan firman-Nya (tercipta hidangan itu di antara langit dan bumi).

Nabi Isa a.s menyuruh mereka makan tetapi mereka tidak berani memakannya. Nabi Isa a.s menyuruh orang- orang miskin, orang-orang tua, orang-orang buta dan orang-orang uzur supaya datang dan memakan hidangan itu.

Nabi Isa a.s berkata yang bermaksud: " Kamulah yang memakan hidangan itu dan kamu tidak memintanya. Hidangan itu tidak menjadi bala kepada kamu."

Lalu mereka makan hidangan itu. Yang meminta hidangan itu adalah golongan jutawan, bangsawan atau golongan atasan, bukan sebarangan orang.

Mereka mahu mencabar kenabian Nabi Isa a.s. Setelah diturunkan mukjizat, mereka tidak berani memakan hidangan itu.

18 Oktober 2009

Bersedia Untuk Mati

Kita tidak tahu bilakah masanya kita akan mati.

Hanya Allah jua yang maha mengetahui.

Adalah lebih selamat jika kita sentiasa bersedia untuk mati.

Antara persediaan yang boleh dilakukan :
- Sentiasa melakukan amalan yang memberi pahala.
- Sentiasa jauhi dari melakukan dosa.
- Sentiasa bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah.
- Mohon maaf dari orang yang kita ada kesalahan.
- Sediakan wasiat.
- Banyakkan amal jariah.
- Ajarkan ilmu yang bermanfaat.
- Didik anak agar menjadi anak soleh dan solehah.
- Lunaskan hutang piutang.
- Lazimkan zikir La ila ha illAllah moga menjadi akhir kalam nanti.
- Sentiasa berbaik sangka kepada Allah.

Rasulullah bersabda maksudnya: "Apabila mati anak Adam maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu: 1. Sedekah jariahnya 2. Ilmu yang bermanfaat 3. Anak yang soleh yang akan mendoakannya." (HR Muslim)

Dari Abu Ya'la Syaddad bin Aus ra. dari Nabi saw, beliau bersabda: Orang yang CERDIK ialah orang yang selalu menjaga dirinya dan beramal untuk bekalan sesudah mati.(HR Tirmidzi)

"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Barangsiapa yang terjauh daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

17 Oktober 2009

Baik Akhlak

“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya.” (HR Tirmidzi)

“Sesungguhnya orang yang paling saya kasihi dan yang paling dekat padaku di hari kiamat ialah yang terbaik budi pekertinya.” (HR. Tirmidzi)

“Sesungguhnya sebaik-baik kalian ialah yang terbaik akhlaknya.” (HR Muslim)

“Bertaqwalah kepada Allah dimana jua engkau berada dan balaslah perbuatan buruk dengan perbuatan baik niscaya kebaikan itu akan menutupi keburukan dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang baik.” (HR Tirmidzi)

Nabi pernah ditanya perihal orang yang paling banyak masuk syurga. Baginda menjawab : “Taqwa kepada Allah dan Akhlak yang Baik.” (HR Tirmidzi)

"Sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang agung” (Al qalam : 4).

Anas bin Malik ra. mengatakan : "Selama sepuluh tahun saya melayani rasulullah, belum pernah saya ditegur : mengapa engkau berbuat ini ? atau mengapa engkau tidak mengerjakan itu ?” (HR. Bukhari dan Muslim).

“ Yang paling memberatkan mizan (timbangan) pada hari kiamat adalah akhlak yang baik.” (HR. Ahmad)

Rasulullah pernah berkata “Aku diutus oleh Allah ialah untuk menyempurnakan akhlak.” (HR.Ahmad)

13 Oktober 2009

Undi Pos Tidak Telus, Berlaku Rasuah Politik, Penyalahgunaan Jentera Kerajaan Dan Politik Janji - NIEI

National Institute for Electoral Integrity (NIEI) telah memantau perjalanan pilihanraya kecil (PRK) bagi kerusi DUN Bagan Pinang (N 31) bermula dari hari penamaan calon pada 3 Oktober sehinggalah berakhirnya proses pengundian pada 11 Oktober 2009.

Didalam pemantauan pilihanraya, terdapat dua kaedah yakni stationary monitoring (pemantau ditugaskan untuk tunggu disetiap tempat mengundi) dan mobile monitoring (pemantau bergerak).

NIEI menggunakan kaedah mobile monitoring dimana pemantau-pemantau NIEI bergerak untuk memantau perjalanan pilihanraya di dalam kawasan N 31 bermula dari proses penamaan calon, tempoh berkempen dan hari mengundi.

Di dalam pemantauan NIEI di kerusi N 31, terdapat beberapa perkara yang telah mencemarkan PRK yang seharusnya telus, bebas dan adil.

Diantaranya ialahL:
1) Ketidak telusan pengundian pos

Terdapat dakwaan bahawa senarai pengundi pos tentera yang diwartakan dan diberikan kepada calon-calon yang bertanding berbeza dari senarai pengundi pos tentera yang dipaparkan pada hari mengundi pos 8 dan 9 Oktober 2009.

Selain daripada itu, terdapat juga dakwaan bahawa terdapat pengundi-pengundi pos yang didaftarkan lebih dari satu kem serta persara-persara tentera masih lagi terdapat dalam daftar pengundi pos.

Yang lebih menyedihkan lagi, SPR langsung tidak mengendahkan syak wasangka ini dan tidak membersihkan nama mereka dan maruah sebagai badan penggendali pilihanraya tidak dipertahankan.

Oleh yang demikian, bagi memastikan proses pengundian pos tidak lagi dipertikaikan pada masa akan datang, NIEI mencadangkan agar kaedah dan prosedur pengundian pos hendaklah dikaji semula dan diubah supaya ianya telus dan diyakini oleh rakyat.

Dari pengalaman pemerhatian NIEI di luar negara, Thailand dan Filipina yang mengalami konflik ganas, pengundian secara normal digunakan bagi anggota tentera mereka. Pusat pengundian yang dikendali sepenuhnya oleh SPR – serta hak-hak yang sama bagi agen parti, pemantau tempatan dan pemerhati antrabangsa – dibuka di dalam kem-kem tentera.

Jika terdapat undi pos tentera, ianya akan dikendalikan sepenuhnya oleh SPR negara tersebut. Tidak timbul langsung kontraversi senarai nama pengundi anggota tentera di sana.


2) Rasuah politik, penyalahgunaan jentera kerajaan dan politik janji

Rasuah politik, penyalahgunaan jentera kerajaan dan politik janji masih lagi berleluasa dalam PRK N 31 Bagan Pinang. Pemberiaan projek-projek kerajaan kepada penduduk Bagan Pinang semasa tempoh berkempen dilakukan secara berleluasa.

Banyak kementerian-kementerian seperti Kementerian Penerangan, Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna digunakan untuk memberikan “rasuah politik” kepada pengundi Bagan Pinang secara terbuka.

Selain daripada itu, penyalahgunaan jentera kerajaan turut dilakukan secara berleluasa. Kedua-dua pihak yang bertanding dilihat menyalahgunakan harta rakyat terutama kenderaan milik kerajaan Persekutuan, Negeri dan Tempatan. Manakala UMNO-BN memonopoli dewan orang ramai, sekolah, KEMAS dan JKKK sebagai markas parti.

Amalan ini adalah satu kesalahan besar kerana seharusnya harta milik kementerian, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak boleh digunakan bagi parti-parti politik yang bertanding semasa berkempen dalam pilihanraya.

Untuk memastikan pilihanraya akan datang adil kepada semua pihak yang bertanding, NIEI mencadangkan agar politik wang, janji peruntukan projek, projek kilat, salahguna jentera negara dan salahguna kemudahan awam hendaklah dihapuskan.

Di negara-negara jiran, terutamanya Thailand, Nepal dan Taiwan amalan ini diharamkan. Kesalahan bersabit dengannya akan diambil tindakan keras, iaitu SPRnya akan membatalkan calon bersalah daripada bertanding, atau dibatalkan kemenangan mereka.

Untuk menghapuskan amalan ini, undang-undang anti rasuah politik dan penyalahgunaan harta awam hendaklah digubal seperti yang dilaksanakan di Thailand dan Taiwan.


3) Perayu undi, tukang sorak dan pengangkutan yang disediakan oleh parti politik pada hari mengundi

Amalan merayu undi dan tukang sorak telah menyebabkan ketegangan berlaku pada hari mengundi. Apabila perayu-perayu undi dari kedua-dua parti politik bersaing untuk merayu undi berhampiran dengan tempat pembuangan undi, ianya menggangu pengundi-pengundi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Selain daripada itu kemudahan pengangkutan yang disediakan oleh parti politik untuk mengangkut pengundi turut menyesakkan keadaan dihadapan tempat pembuangan undi yang biasanya dilaksanakan di sekolah. Bagi memastikan pengundi-pengundi dapat berfikir dengan tenang sebelum masuk ke tempat pembuangan undi, NIEI menyarankan agar amalan merayu undi, tukang sorak dan penyediaan kemudahan pengangkutan untuk mengangkut pengundi dihapuskan.

Sebagai ganti, tempoh berkempen bolehlah diperpanjang seperti dua minggu bagi pilihanraya kecil dan sebulan bagi pilihanraya umum. Parti-parti politik bukan kerajaan yang sering tidak mendapat tempat di media arus perdana aktif berkempen pada hari mengundi oleh kerana tidak mendapat liputan yang adil oleh media arus perdana dan tempoh berkempen yang singkat, jika tempoh berkempen diperpanjangkan, semua pihak akan mendapat masa yang cukup untuk berkempen.

Selain daripada itu, SPR bolehlah menyediakan kenderaan untuk mengangkut pengundi seperti van, kereta dan motosikal sebagai alternatif kepada kenderaan-kenderaan yang disediakan oleh parti politik


4) Perbelanjaan berkempen

Dalam PRK Bagan Pinang, dapat disimpulkan bahawa perbelanjaan yang digunakan untuk berkempen bagi calon BN, Tan Sri Isa Samad telahpun melebihi had yang ditetapkan iaitu RM 100,000 bagi calon DUN.

Menurut Seksyen 19(1) (a) dan (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya umum hendaklah berbelanja tidak melebihi had yang ditetapkan iaitu untuk calon Parlimen RM200,000 dan calon DUN RM100,000.

Akta ini harus digubal semula dan harus menyatakan bahawa ianya termasuklah kepada parti politik yang menyokong sesuatu calon tersebut. Kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) bolehlah dilakukan untuk memperketatkan lagi pemantauan perbelanjaan kempen.

NIEI berharap agar isu-isu yang dibangkitan akan diambil perhatian serius oleh SPR agar perjalanan pilihanraya di Malaysia dapat menjadi lebih baik pada masa akan datang. Semua parti politik yang bertanding diseru agar bekerjasama bagi memastikan proses perjalanan pilihanraya di Malaysia menjadi lebih adil, telus dan saksama. Pilihanraya yang berkredibiliti akan meyakinkan lagi rakyat dengan amalan demokrasi di Malaysia.


Amin Iskandar
Pengarah Eksekutif